Wednesday, April 16, 2008

Shamsuddin anak Nawawi + Basariah

Lahir 25hb Mac 1958.Di lahirkan pada 25hb Mac 1958, anak kepada Nawawi Bin Mat Din dan Basariah Binti Mat Lia di Kampong Pasir Bayam, Dong, Raub, Pahang. Bapak dari keturunan Rao dan mak pula Rao disebelah Tok dan Kampar Sumatra di sebelah Wan. Bapak berasal dari Gali dan mak dari Durian Sebatang. Bapak seorang petani, tanam padi dan menoreh getah. Mak seorang suri rumah dan bantu bapak tanam padi. Bapak seorang yang berbadan sasa dan sangat alim dan tahu ugama. Namun sebagai petani dan penoreh getah Bapak mampu mempunyai motorsikal Triumph dan kemudiannya Yamaha 50cc. Bapak juga ada jentera pembajak Kubota, kemudain nya Iseki dan hidup ketika itu tidak lah mewah tetapi tidak pula susah. Makan dan pakai cukup. Rumah di No. 26 Kampong Pasir Bayam itu ada radio transister, mesin jahit Singer kepunyaan Mak tetapi belum ada bekalan api dan air. Masih pakai lampu pelita dan sumber air dari Sungai Dong yang mengalir dibelakang rumah. Di depan rumah pula ada parit taliair untuk bekalan air ke sawah.
(Susurgalur keluarga seperti yang dibuat oleh Jaro www.jaro.com.my)
SHAMSUDDIN BIN HAJI NAWAWI, DATO
Susur galur
Sebelah bapa
Haji Nawawi anak Lebai Madin anak Hjh Jarinah anak Panglima
Sutan anak Jopogang.Adalah Jopogang ini berasal dari Tanjung
Betung, Rao Mapat Tunggul
Sebelah Ibu
Hjh Bashariyah anak Mat Lia anak Tupin anak Zawiyah anak Yang
Madunah anak Panglima Jabaringin, yang berasal dari Tanjung
Beringin, Rao Mapat Tunggul.
Catatan silsilah
Hjh Jarinah suaminya Imam Sani bekas Wali Hakim Gali II, berasal
dari Temerloh.
Lebai Madin isterinya Dayam anak Tafar anak Piah anak Siti Anjur
anak Munah anak tak tahu nama (perempuan) anak Panglima Tok
Perak.


Zaman kanak-kanak dan pra sekolah.Tidak banyak yang dapat diingat semasa zaman ini. Kehidupan sekeluarga semasa itu biasa sahaja. Long bersekolah di Federal Military College di Port Dickson dan jarang balik. Ngah dan De bersekolah di Mahmud Secondary School dan Tam pula di Sekolah Kebangsaan Dong. Mai baru lahir pada tahun 1961. Pada zaman ini Sungai Dong itu rasanya besar sangat, dalam dan airnya mengalir deras. Mak selalu bawa kami ke rumah wan Zainab dengan menyeberang Sungai Dong ke Kampong Durian Sebatang. Menyeberang sungai ini terpaksa pakai rakit sangkut iaitu rakit itu disangkut pada tali besi (dawai) dan di panggil rajang oleh orang kampong dan ditarik dari seberang sini untuk sampai ke seberang sana. Waktu petang kami mandi sungai senja dan hanya berani main ditepi sahaja. Kami juga mandi di parit kerana airnya juga bersih. Semasa pergi ke rumah Tok Mat Lia di Kampong Durian Sebatang, selalunya bermain dengan Tahir anak Pak Itam Daud dan Din Kancil anak Mamak Man. Pak Itam Daud kahwin dengan Tam Timah (Fatimah Mat Lia) adik Mak. Mamak Man (Abdul Rahman Mat Lia) pula adalah adik Mak dan ada kembarnya iaitu Mamak Leh (Salleh Mat Lia). Rumah Mamak Man dan Tam Timah dekat dengan rumah Tok Mat Lia. Pada masa itu kami selalu makan buah mencepu yang ada tumbuh di tepi rumah Tam Timah. Buah kundang pula banyak di tepi rumah Mamak Man. Kami juga selalu main di parit Durian Sebatang yang mengalir dekat rumah Mamak Man. Ingat lagi betapa bakhirnya Tok Mat Lia dan Wan Zainab. Tidak boleh ambil apa-apa pun dari rumahnya. Masa itu Tok Mat Lia ada motorsikal kayuh (hanya satu di Dong masa itu). Kami hanya boleh tengok tapi tak boleh usik. Sabri anak Mamak Leh selalu juga cuba-cuba menunggangnya. Sabri cucu manja kepada Tok Mat Lia dan Wan Zainab. Mak ada 8 orang adik beradik. Mak yang tua. Ngah Wok, De Bidah, Tam Timah, Mamak Leh, Mamak Man, Mamak Nik dan Mamak Bujuk.
Tok Mat Din pula tinggal di Gali Tengah. Susah betul hendak ke sana sebab jauh. Jauh pada masa itu walaupun jaraknya tak sampai pun 3 kilometer. Masa itu manalah ada transport melainkan jalan kaki sahaja. Tok Mat Din ini adalah Imam, Wali Hakim dan guru ugama pada masa itu. Wan Dayam pula tinggal di Lechar sebab dah bercerai dengan Tok Mat Din. Apak pula adalah anak tunggal. Tok Mat Din hanya dapat jumpa sekali sekala sahaja apabila dia datang naik basikal ke rumah di Pasir Bayam. Wan Dayam meninggal dunia masa saya masih kecil dan tak ingat muka dia macam mana. Tok Mat Din pula meninggal pada tahun 1960 dan tak sempat sangat hendak kenal dengan dia. Dia ada banyak menyimpan kitab-kita dan masa dia hendak meninggal semuanya itu diwasiatkan untuk beri pada saya. Entah apa jadi dengan kitab-kitab itu saya pun tidak tahu.
Di zaman ini saya selalu main di laman rumah. Antara yang paling diingat ialah kegemaran saya menulis atas tanah sebab masa itu tiada buku yang boleh diconteng. Saya belajar menulis huruf hanyalah pada tanah sahaja. Kawan-kawan pada masa itu amat terhad. Antaranya Atan Lawi, Rani Mat Din, Nuar Mat Noor, Zaini Shaari, Kamal Wahab dan Ai Manap Tailor. Seronok zaman kanak-kanak ini. Main lastik main polis sentri dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.