(Penghuni asrama Sek. Men. Sulaiman, Bentong 1971. Ada yang telah meninggal dunia. Ada yang telah dikurniakan Darjah Kebesaran Dato' dan ada juga yang bertanding pilihanraya Calon Pas 2008 kawasan DUN Pelangai)
Zaman sekolah menengah rendah di Sulaiman Secondary School Bentong. Zaman ini adalah yang paling manis dan penuh cerita. Pada umur baru masuk 12 tahun saya sudah tinggal di asrama. Itulah kali pertama berpisah dengan keluarga. Terasa Bentong itu jauh sangat. Apak hantar dengan bas dan daftar di Sulaiman Secondary School, Bentong. Sekolah itu besar sangat rasanya. Dari MPSR hanya saya dengan Haji Norzuhdi Nordin, Zailan Kamaruddin, Ismayuddin Othman dan Jalil Ghazali sahaja. Haji Norzuhdi anak Inspektor Polis. Di asrama saya terpaksa guna kelambu yang dah pakai di rumah. Kain cadar dan sarung bantal juga yang sudah dipakai. Terasa sangat kemiskinan keluarga. Orang lain semua pakai yang baru. Yang mengelikan hati, kelambu itu family size sedangkan katil di asrama itu katil bujang. Warnanya pula hijau muda. Orang lain semua warna putih dan memang untuk katil bujang. Ada juga kawan-kawan yang gelak tapi saya tak ambil kisah. I had the last laugh!. Hari pertama dan kedua terasa sangat susahnya hidup di asrama. Makan kena beratur dan semuanya awal sangat. Makan malam mula pukul 6 petang. Makan pagi jam 6 pagi. Langsung tak lalu makan. Entah rasa apa makanan di asrama.
(Kemanalah perginya kawan-kawan sekelas tahun 1973 ini?)
Anak-anak orang kaya semuanya dikunjungi keluarga pada hujung minggu. Saya pula hendak potong kuku pun tak ada pemotongnya. Pakai pisau sahaja lah sudahnya. Lama kelamaan dapat juga saya membiasakan diri dan ramai pula kawan-kawan baru. Rancangan khas ini dari seluruh negeri Pahang. Kawan-kawan yang rapat pada masa itu antara lain adalah Kamal Bakar, Sabri Shamsuddin, Ismayuddin, Khalid Darus, Nordin, Haji Norzuhdi, Samad Yaakob, Saupi, Effendi Torchlight, Hamid Bador, Hasnan Hassan, Ibrahim Tambi, Zuki Kamaluddin dari Jerangsang Benta yang suka sangat makan kaya pap dan ramai lagi yang dah lupa nama mereka. Di sini lah segala perjalanan dan mengenal erti kehidupan mula saya rasai. Tinggal di asrama banyak memberi pengalaman pahit dan manis. Di asrama lah mula mengenal rokok. Ramai kawan-kawan sudah mula hisap rokok dan saya pun tidak ketinggalan. Sejak dari tingkatan satu lagi saya sudah mula curi-curi hisap rokok. Masa itu rokok yang hot adalah Craven A dan Benson & Hedges. Mail Misai yang datang waktu malam jual roti ke asrama seludup juga rokok untuk di jual kepada kami. Ada code word kalau hendak beli rokok. Kalau hendak Craven A kena minta “roti cap kucing”, kalau nak Benson & Hedges “roti BH”. Di depan asrama ada Restoran Mamak yang kami panggil “Green” sebab lampu kedai itu warna hijau. Waktu malam kami curi-curi keluar asrama pergi ke Green beli roti canai dan tak ketinggalan rokok juga. Terpaksa menyeludup keluar ikut lobang pada pagar di depan padang seberang jalan kedai itu. Ada satu malam berlaku kemalangan truck polis hutan dengan roller (untuk ratakan padang) yang ditolak oleh Kamaruzaman Sertik dari atas padang untuk buat lobang dipagar dan roller itu jatuh bawah lereng dan terus langgar truck yang lalu. Nama Kamaruzaman telah di tukar jadi Kamaruzaman Roller. Tapi semua orang tak tahu macam mana roller itu boleh jatuh. Hanya group kami yang tahu. Di asrama, kami digalakkan bersukan. Setiap petang biasanya kami main bolasepak. Semasa di tingkatan satu kami ada perlawanan bolasepak dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Benus. Kami semuanya dari Tingkatan Satu sedangkan mereka ada yang tingkatan 4 dan juga 5. Kami kalah 9-0. Saya ingat lagi penjaga gol kami ialah Ismayuddin yang kakinya kecil sebelah yang katanya adalah kerana “Nature”. Jadilah namanya Nature sejak dari itu.
Saya bersekolah di Sekolah Menengah Sulaiman ini dari Tingkatan 1 sampai Tingkatan 3 dan apabila tamat LCE dan dapat keputusan, Mr Stork tidak benarkan lagi saya meneruskan bersekolah disitu. Saya membuat keputusan untuk bersekolah di Raub dan Mr Stork membuat surat kepada Sekolah Menengah Mahmud, Raub mengatakan saya bertukar sekolah kerana mengikut bapa berpindah ke Raub. Ini adalah alasan sahaja kerana bapak tidak pernah pun berpindah kemana-mana. Alasan sebenarnya pindah sekolah itu adalah kerana Mr Stork tidak tahan dengan kerenah kumpulan saya yang jahat dan nakal. Kenakalan kumpulan kami di SMS ini memang terkenal. Tiada siapa yang berani menentang kami. Kami lah raja di asrama dan di SMS. Kalau ada yang berani menentang kami pasti kena belasah. Segala buah-buahan orang Ketari tu habis kami kerjakan. Kami mencuri buah jagung waktu malam di Kampong Gemeti. Kami masuk ladang jagung dan kami curi jagung itu dari tengah-tengah ladang. Tuan punya kebun tidak tahu kerana tidak perasan yang tanaman jagungnya sudah dicuri dari dalam. Kami rebus jagung itu di dapur asrama dan mendapat kerjasama dari Din dan Mail Cook – tukang masak asrama.
Antara peristiwa yang tidak boleh dilupa ialah kami berenam dihalau dari asrama oleh Mr. Stork atas kesalahan pergi menonton cerita James Bond di panggung Cathay Bentong. Kami pergi secara curi-curi dan jalan kaki sejauh lebih kurang 5 kilometre dari asrama ke panggung wayang itu. Nasib kami malang, dalam perjalanan balik kami terserempak dengan Mr Stork. Esok harinya kami terus dibuang dari asrama. Kami terpaksa menumpang di Rumah Asap Getah tinggal, di depan Masjid Ketari. Tapi kami bukan bodoh! Kami curi tilam asrama dan bawa ke rumah asap tu. Sehari sebelum bermula periksa LCE baru kami diterima semula di asrama. Nasib saya tidak berapa baik, LCE hanya dapat aggregate 13 kerana tidak belajar – main-main dan banyak buat nakal. Dengan aggregate 13 itu saya tidak boleh masuk mana-mana sekolah yang berprestij ketika itu seperti MCKK atau RMC. Atas sebab itu lah saya terpaksa bersekolah di Raub pula. Semasa besekolah di SMS ini macam-macam benda yang pelik-pelik pernah kami buat. Maklumlah tengah remaja. Saya pernah “hitch hike” dari Bentong ke KL, Kota Baru, Ipoh dan Johor Bharu. Dari Bentong ke KL semasa itu amat jauh kerana jalan yang bengkang bengkok melalui Bukit Tinggi dan Gombak. Lebuhraya Karak belum siap lagi. Perjalanan dari Bentong ke KL masa itu lebih kurang 2 jam perjalanan kalau naik bas dan kalau berkereta lebih kurang 1 jam setengah. Saya KL semata-mata untuk beli Hotdog sahaja ketika itu. Hotdog hanya dijual di KL dan Bentong tidak ada lagi. A&W pun hanya ada di KL saja. Saya juga pernah tidor di pondok tempat tunggu bas di Batu 1 Temerloh kerana tiada kereta yang mahu berhenti. Pergi hitch hike dengan hanya ada wang sebanyak 1 ringgit adalah biasa. Yang paling seronok hitch hike ialah apabila kereta yang berhenti itu adalah kereta baru. Kereta model baru semasa itu adalah Datsun SSS. Bukan main lah beranggan-anggannya hendak ada kereta Datsun SSS masa itu. Kadang-kadang itu apabila hitch hike memang pilih kereta untuk ditahan. Tapi akhirnya terpaksa juga naik lori balak atau lori barang saja. Genting Highlands pun baru dibuka pada tahun 1972 dan saya adalah antara orang yang pertama sampai ke Genting. Saya dan rakan-rakan pergi ke Genting dengan hitch hike sahaja. Yang paling mengelikan hati saya apabila teringat cerita Genting ini ialah pasal sejuk. Cuaca Genting memang sejuk terutamanya pada tahun 70an itu. Kami naik ke Genting dengan baju lengan pendek saja dan berseluar jeans. Apabila kami sampai di atas semua orang pakai sweater dan baju tebal. Kami pura-pura buat tidak sejuk langsung. Apabila ditegur oleh orang dan tanya adakah kami sejuk, dengan selamba kami jawab “Apa sejuk? Mana ada sejuk”. Padahal tuhan saja yang tahu betapa sejuknya yang kami rasa!
Di asrama SMS kami pernah adakan piket. Ala-ala demonstrasi dan saya adalah seorang ketua piket itu. Kami berpiket kerana membantah makanan yang tidak sedap di asrama. Yang peliknya itu, pihak polis dan pihak berkuasa daerah menyangkakan kami telah dihasut oleh anasir komunis! Tahun 1973 itu masih kuat lagi ancaman komunis di negara. Bagi memujuk kami, Pejabat Penerangan Daerah Bentong telah membawa kami dengan rombongan ke KL. Kami melawat bermacam-macam tempat di KL seperti zoo negara, muzium negara, tugu negara dan makan di Bilal Restoran. Makan nasi beriani! Kenapalah bodoh sangat pegawai-pegawai kerajaan ketika itu! Kami bukan komunis tetapi hanya mahu makanan yang sedap sahaja di asrama!
Seluar jeans yang popular masa itu antaranya Lee, Hara, Texwood dan Wrangler. Anak orang kaya boleh lah beli. Saya setakat dengar nama sahaja lah kerana tak mampu untuk beli.







No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.